Search This Blog

Greetings

Greetings

Elemen Balasan Dalam Pembentukkan Kontrak


PENGENALAN PEMBENTUKAN KONTRAK
Kebanyakan kontrak selalunya berbentuk kontrak mudah, dimana pembentukannya tidak melibatkan formaliti-formaliti tertentu. Ia boleh dibuat samada secara lisan atau disiratkan daripada perlakuan pihak-pihak terlibat. Contoh yang jelas ialah jual beli barangan keperluan harian di kedai runcit ataupun di pasar raya. Namun begitu, ada juga kontrak yang bersifat kompleks, contohnya perjanjian-perjanjian yang dimasuki oleh syarikat-syarikat perniagaan. Perjanjian yang begini lazimnya didraf dengan teliti dan dibuat dalam bentuk bertulis.

Secara asasnya, elemen-elemen yang berikut harus wujud untuk mewujudkan perjanjian yang sah dan boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang -:

a)      Tawaran atau cadangan yang ditujukan oleh seseorang kepada seorang yang lain;
b)      Penerimaan tawaran tersebut oleh pihak yang ditujukan tawaran;
c)      Balasan yang sah dan bernilai daripada kedua-dua pihak yang berkontrak;
d)     Niat oleh kedua-dua pihak untuk saling mengikat di sisi undang-undang;
e)      Keupayaan pihak-pihak terbabit untuk memasuki kontrak; dan
f)       Ketentuan

Kesemua elemen tersebut haruslah dipenuhi secara serentak dan bukan secara alternatif. Contohnya, kontrak tidak sah sekiranya hanya elemen tawaran dan penerimaan tawaran dipenuhi sedangkan elemen-elemen yang lain tidak dipenuhi.

Ini dinyatakan di dalam Seksyen 10 Akta Kontrak 1950, dimana  semua perjanjian adalah kontrak jika dibuat atas kerelaan bebas mana-mana pihak yang layak membuat kontrak, untuk sesuatu balasan yang sah dan dengan sesuatu tujuan yang sah dan tidak ditetapkan dengan nyata dibawah akta bahawa ianya batal.

 DEFINISI BALASAN

Balasan adalah ‘ harga’ yang dibayar oleh satu pihak untuk membeli janji atau perbuatan pihak yang satu lagi. Seksyen 2(d) akta kontrak 1950 memperuntukkan yang bermaksud, menurut kehendak pembuat janji, apabila penerima atau siapa sahaja yang telah membuat atau telah menahan diri dari membuat sesuatu, maka perbuatan atau penahanan diri atau janji itu adalah disebut balasan untuk janji itu.



Pollock pula mendefinasikan balasan sebagai, sesuatu perbuatan menahan diri oleh satu pihak, atau janji untuk berbuat demikian adalah harga untuk membeli janji pihak yang lain, dengan demikian janji yang diberi nilai itu boleh dikuatkuasakan

Elemen balasan ini adalah penting untuk mewujudkan satu kontrak yang mengikat dan sah di sisi undang-undang. Ini dinyatakan dalam Seksyen 26 Akta Kontrak 1950, Perjanjian tanpa balasan adalah batal, kecuali kontrak tersebut bertulis dan didaftarkan.

Misalan Seksyen 26 (a) Akta Kontrak 1950, A berjanji tanpa balasan, memberi kepada B RM 1,000. Ini adalah perjanjian batal.

Pihak-pihak yang berkontrak mestilah mempunyai balasan masing-masing. Contohnya, jika A bersetuju membekalkan 100 kg minyak masak cap padi dengan harga RM 2.50 sekilo kepada B, maka balasan B kepada A adalah membayar wang berjumlah RM 250.00 bagi bekalan minyak masak itu, manakala  balasan di pihak  A adalah dengan menyerahkan bekalan minyak masak tersebut kepada B.

Dalam kes Currie lwn Misa (1875) ², balasan dikatakan sebagai suatu hak, kepentingan, keuntungan atau manfaat terakru kepada suatu pihak, atau suatu penahanan daripada bertindak, kerugian, kehilangan atau kewajipan yang dibuat, dipikul atau ditanggung oleh suatu pihak yang lain.


JENIS-JENIS BALASAN

Terdapat tiga jenis balasan yang boleh dikuatkuasakan iaitu :-

(a)   Balasan Eksekutori yang merupakan balasan atau janji yang belum dilaksanakan tetapi akan dilaksanakan. Contohnya, A bersetuju menjualkan komputernya kepada B, dan B berjanji akan membayar RM 1,500 apabila A menghantar komputer tersebut kepadanya. Janji kedua-dua pihak belum dilaksanakan, tetapi akan dilaksanakan pada masa akan datang.

(b)   Balasan tersempurna pula adalah janji atau balasan yang perlu disempurnakan terlebih dahulu sebelum janji atau balasan pihak yang satu lagi dilaksanakan.

Contohnya A berjanji akan memberikan hadiah RM 200 kepada sesiapa yang memulangkan kucingnya yang hilang. B menjumpai kucing tersebut dan memulangkannya kepada A. Tindakan B memulangkan kucng tersebut adalah suatu balasan tersempurna di pihak B, manakala balasan di pihak A adalah dengan membayar wang hadiah RM 200 kepada B.


(c)    Manakala balasan lepas atau balasan lampau pula adalah balasan atau perbuatan yang sudah dilakukan sebelum janji pihak yang satu lagi dibuat. Janji dibuat bagi membalas perbuatan yang telah dilakukan itu.

Misalan, A menyelamatkan B daripada lemas di laut, B kemudiannya berjanji akan memberikan A RM 20,000 sebagai ganjaran. Perbuatan A menyelamatkan B daripada lemas merupakan balasan lampau kerana ianya sudahpun dilakukan sebelum B membuat janjinya.


(d)   Di bawah undang-undang Inggeris balasan lampau atau balasan lepas tidak diterima sebagai suatu balasan yang sah ³ . Namun begitu, terdapat pengecualian terhadap prinsip ini dimana, jika tindakan yang dilakukan oleh penerima janji itu pada asalnya adalah atas kehendak pembuat janji, maka ia akan menjadi balasan yang sah dan bernilai.

Pernyataan ini boleh dirujuk pada Seksyen 2(d) Akta Kontrak 1950 , menurut kehendak pembuat janji atau siapa sahaja yang telah membuat atau telah menahan diri dari membuat sesuatu, atau membuat atau menahan diri dari membuat sesuatu, maka perbuatan atau penahanan diri atau janji itu adalah disebut balasan untuk janji itu.
Di sini perkataan ‘telah’ menunjukkan bahawa walaupun sesuatu tindakan dilakukan sebelum sesuatu janji diucapkan tindakan itu boleh menjadi balasan yang sah jika ia dilakukan ‘atas kehendak pembuat janji’.

Contoh pengecualian bagi balasan lampau atau lepas boleh dirujuk pada kes Lampleigh lwn Braithwaite (1615 ) 4 dimana, Braithwaite dituduh membunuh seorang lelaki dan meminta bantuan Lampleigh untuk mendapatkanny  pengampunan daripada Raja. Lampleigh dengan bersusah payah melaksanakan permintaan tersebut, Braithwaite dibebaskan dan berjanji untuk membayar Lampleigh £100 atas usahanya itu, yang mana tidak dipenuhinya. Lampleigh mendakwa terdapat kontrak atas perjanjian tersebut. Beliau berjaya, mahkamah memutuskan terdapat kontrak yang sah walaupun balasan tersebut adalah balasan lepas, dimana bantuan atau perkhidmatan itu dilakukan atas kehendak  pembuat janji. Walaupun harga bayaran tidak disebut pada masa perjanjian, ianya adalah jelas kepada  kedua-dua pihak terdapat pembayaran yang akan dilakukan.


HURAIAN BENTUK-BENTUK BALASAN

(a)   BALASAN MESTILAH BALASAN YANG SAH

Mahkamah tidak akan membenarkan sebarang tindakan diambil, jika kontrak dibuat berasaskan balasan yang menyalahi undang-undang atau tidak bermoral. Ini adalah berdasarkan peraturan ex turpi causa non oritur actio, dengan kata lain bermaksud, tindakan tidak akan diambil jika kontrak dibuat atas alasan yang keji dan tidak bermoral.

Kenyataan ini boleh dirujuk pada Seksyen 25 Akta Kontrak 1950, yang memperuntukkan, perjanjian batal, jika balasan atau tujuan tak sah sebahagiannya. Iaitu jika mana-mana bahagian sesuatu balasan untuk satu atau lebih tujuan, atau satu atau sebahagian dari satu dari beberapa balasan untuk satu tujuan, adalah tak sah di sisi undang-undang, maka perjanjian itu adalah batal.

Contohnya, perjanjian dengan juruelektrik yang tidak berlesen adalah tidak sah, dimana seseorang yang mempraktikkan kemahiran elektrikal tanpa lesen boleh didakwa di sisi undang-undang.  


(b)   BALASAN TIDAK SEMESTINYA DATANG DARIPADA PENERIMA JANJI

Di bawah undang-undang Malaysia, balasan tidak semestinya datang daripada penerima janji. Ini adalah bertentangan dengan undang-undang Inggeris di mana balasan mesti datang daripada penerima janji itu sahaja dan bukannya daripada orang lain. Ini berdasarkan priviti kontrak yang menyatakan bahawa, seseorang yang tidak terlibat di dalam kontrak tidak mempunyai hak untuk mendakwa atau menguatkuasakan kontrak tersebut. Menurut Seksyen 2(d) Akta Kontrak 1950, yang menyebut, menurut kehendak pembuat janji atau siapa sahaja yang telah membuat atau telah menahan diri dari membuat sesuatu, atau membuat atau menahan diri dari membuat sesuatu, maka perbuatan atau penahanan diri atau janji itu adalah disebut balasan untuk janji itu.

Perkataan ‘siapa sahaja’ menunjukkan bahawa balasan bukan sahaja boleh diberi oleh penerima janji, tetapi boleh juga diberi oleh sesiapa sahaja walaupun pihak tersebut tidak terlibat di dalam kontrak tersebut 5 .



(c)    KEBERPADAAN BALASAN

Di sisi undang-undang sesuatu balasan itu mestilah bernilai tetapi ia tidak semestinya berpada. Merujuk kepada Huraian 2 Seksyen 26Akta Kontrak, Sesuatu perjanjian dimana persetujuan pembuat janji diberi secara bebas tidaklah batal semata-mata kerana balasan itu tidak memadai; tetapi mahkamah boleh mempertimbangkan persoalan  samada ketakberpadaan balasan itu diberi oleh pembuat janji secara bebas atau sebaliknya.Jika balasan diberi secara bebas, maka kecukupan balasan itu tidak penting kepada kewujudan kontrak yang mengikat. 6,7



PENGECUALIAN UMUM ELEMEN BALASAN

Seksyen 26 Akta Kontrak mengatakan, perjanjian tanpa balasan adalah batal, tetapi terdapat pengecualian dimana, walaupun sesuatu janji itu dibuat tanpa balasan ianya tetap sah dan boleh dikuatkuasakan jika,

a)      Perjanjian dibuat berdasarkan kasih sayang semulajadi antara pihak-pihak ada hubungan karib boleh mewujudkan suatu perjanjian yang sah, jika dibuat secara bertulis dan didaftarkan jika ada undang-undang yang menghendakinya berbuat demikian.

Misalan Seksyen 26 (a) Akta Kontrak 1950, A kerana kasih sayang semulajadi, berjanji memberi kepada anak lelakinya B Rm 1,000. A menyatakan janjinya kepada B secara bertulis dan mendaftarkannya menurut undang-undang berkuatkuasa pada masa  itu untuk mendaftarkan dokumen sedemikian. Ini adalah suatu kontrak 8.


b)      Janji untuk memampas, sama ada secara keseluruhan atau sebahagian, seseorang yang telah melakukan sesuatu perbuatan secara sukarela, atau melakukan sesuatu yang pembuat janji boleh dipaksa di sisi undang-undang untuk membuat.

i. Satu janji untuk memberikan ganjaran atas perbuatan sukarela yang telah   
   dilakukan oleh penerima janji

ii. Pembayaran kembali perbelanjaan yang telah ditanggung oleh penerima janji. Dimana ia merupakan perkara-perkara yang menjadi tanggungan pembuat janji dari sudut undang-undang seperti nafkah kepada anak-anak, saman, hutang yang telah luput tarikh, cukai kepada kerajaan dan seumpamanya.


3. Perjanjian untuk membayar hutang yang telah luput had masa menurut Seksyen
26(c) Akta Kontrak, had masa merujuk kepada tempoh yang membolehkan seseorang mengambil tindakan undang-undang sivil
                 

c)      Janji untuk membayar suatu hutang yang dibatas oleh status tetap sah walaupun dibuat tanpa balasan.

Hutang yang dibatasi status adalah hutang yang tidak boleh dituntut melalui tindakan undang-undang disebabkan oleh luputnya tempoh masa pembayaran hutang dimana biasanya ia dikira enam tahun dari semasa kuasa tindakan itu timbul, ia lazimannya dikira dari saat berlakunya kemungkaran kontrak.

Pihak yang terkilan tidak berhak menuntut sekiranya tempoh enam tahun itu telah berakhir, melainkan pihak penghutang telah membuat suatu perjanjian baru untuk membayar hutang yang dibatasi status itu dan janji tersebut dibuat secara bertulis dan ditandatangani orang yang menanggungnya, atau oleh ejennya yang diberi kuasa untuk berbuat demikian.

           
Misalan (e) Seksyen 26 Akta Kontrak, A berhutang Rm 1,000 kepada B, tetapi hutang itu dihalang oleh had masa. A menandatangi satu perjanjian memberikan B Rm 500.00 sebagai bayaran hutang tersebut. Ada kontrak terbentuk dan si penghutang/pejanji boleh dituntut atas janji barunya

1)       Pollock on Contracts 1946. London: Steven & Sons Ltd., Edisi 12, hlm. 133.
2)       LR 10 Ex 153; (1875-76) LR 1 App Cas 554
3)       Roscorla lwn Thomas (1842) 3 QB 234 dimana, umumnya balasan lampau tidak dianggap sebagai balasan yang memadai kecuali ia dilakukan atas kehendak pembuat janji.
4)        EWHC KB J 17, (1615) Hobart 105, 80 ER 255
5)       Venkata Chinnaya lwn Verikatara Ma`ya (1881), Plaintif bersetuju membayar anuiti berjumlah Rs653 kepada adik-adiknya tanpa balasan, ibunya memberikan sebidang tanah di atas pembayaran anuiti tersebut.
6.  Macon Works & Trading Sdn Bhd lwn Phang Hon Chin & Anor (1976), bayaran sebanyak RM 1.00   
     sebagai opsyen pembelian sebidang tanah adalah mencukupi
7.  Chappel & Co. Ltd lwn Nestle Co. Ltd (1960) AC House Of Lords, dimana rekod gramophone lirik
lagu dibalas dengan £ 1, 6 syiling dan 3 keping pembalut coklat.
8.   Tan Soh Sim, Chan Law Keong & Ors lwn Tan Saw Keong & Ors (1951), mengenai isu hubungan rapat antara 
      anak-anak angkat lelaki dengan ibu angkat mereka.